Wednesday, July 01, 2009

"kais Pagi makan Pagi,,kais Petang tak makan langsung"

Kalau kita terjatuh dari tempat yang tinggi, pasti kita dapat menjangka, berapa tinggi kita jatuh, dan bagaimana pula sakit yang akan kita tanggung. Kita akan berfikir, apakah kesannya lepas kita jatuh itu. Dapatkah kita bangun? atau adakah kita akan pulih seperti sediakala. Dari titik kita jatuh terjelepok itu, kita mula mengatur langkah perlahan-lahan. Kalau kita masih boleh berjalan, kita mula menyumpah-nyumpah, mempersoalkan mengapa kita jatuh. Kalau kita cedera berat, kita hanya mampu berdoa bersungguh-sungguh agar pertolongan datang seberapa segera kepada kita.

Begitulah halnya dengan ekonomi dunia ini sekarang, cuma besarkan lagi skalanya. Namun, analoginya sama. Cuma apakah bezanya? Bezanya cuma satu. Kejatuhan ini, belum menampakkan titik hentinya lagi. Tiada satu orang pun dalam dunia ini dapat mengagak hingga ke paras mana mata saham-saham utama dunia akan menjunam, sejauh dan setinggi mana lagi barang2 keperluan asas akan terus naik. Sebanyak mana lagi ringgit yg kian mengecil nilainya. Ikutlah perkiraan apapun, yang pastinya ia terus jatuh dan jatuh.

Melihat kepada mata saham-saham, apakah perlunya titik henti kepada kejatuhan nilai-nilai saham ini? Amat perlu. Kerana dengan adanya titik henti, pasaran modal sudah boleh dikira menstabilkan kejatuhannya. Apabila ia sudah stabil, barulah ia berinteraksi dan berkembang, dan sesungguhnya proses ini amat perlahan dan memakan masa yang panjang. Dalam konteks Malaysia, kejatuhan ringgit tahun 1998 dulu, tahun 2000-2001 baru kita merasa sedikit pulih itupun secara perlahan-lahan. Itulah sifat semulajadi kitaran ekonomi sebenarnya. Namakan ia apapun jua, paten, trend, graf, ataupun petunjuk, ia pasti mengulang proses yang sama. Membelon, pecah berderai dan membelon balik.

Apabila Jepun pun sudah mula mengumumkan bahawa petunjuk ekonominya kearah `recession`, maka ada baiknya kerajaan kita memerah otak bagaimanakah cara terbaik untuk mengurus dana negara. Siapa yang kerap makan duit haram rasuah, berhenti-berhentilah, dan sudah-sudahlah. Siapa yang membazir tidak mengapa, yang melarat nanti kamu sendiri. Yang rasuah ini, menyusahkan orang lain.

Untuk pengguna dan individu, yang mencari rezeki yang halal, yang menanggung keluarga, maka suka saya berpesan mengubah gaya hidup dan meneliti perbelanjaan kalian sehari-hari, kerana 2009 menjanjikan cabaran untuk kita yang berpoket `kais pagi makan pagi, kais petang tak makan langsung`ini.

Ini bukan masanya berjimat cermat, kerana berjimat cermat itu efektif apabila kita ada dana dan kehidupan kita sedikit selesa. kalau kita sudah sesak dan terhimpit, berjimat-cermat tiada berguna lagi, lagipun bukankah tujuan kita berjimat-cermat adalah untuk saat-saat seperti ini? Dan teruslah berbelanja secara berhemah, kerana satu-satunya jalan untuk sesebuah negara keluar dari hambatan krisis ekonomi ini adalah apabila rakyatnya mula berbelanja dengan menggila-babi. Bila ini berlaku, itulah petanda negara itu sudah stabil ekonominya.

(*)sumber asal dipetik dari Risalah (link),di copy dr politikbanjar.blogspot dan di ubah suai..
p/s:walaupun bukan penulisan sendiri tp ianya tetap bermanfaat tuk smua pembace..